resepi mihun putih

Resepi Mihun Putih Sedap & Mudah Nak Masak

Teringat nak tulis resepi ni. Simple je. Tapi mungkin bolehlah jadi panduan untuk mereka yang nak masak untuk family tapi dah tak de idea resepi simple yang lain.

Haritu ada masakkan mihun putih ni bawak gi jamuan di suatu majlis.

Alhamdulillah, habis juga sebekas.

Saya suka buat mihun putih ni sebab antara yang boleh dihidangkan untuk mereka yang tidak boleh makan pedas atas faktor-faktor kesihatan, malah sangat sesuai juga untuk hidang pada anak-anak kecil.

Resepi Mihun Putih Versi Zaleha Awaluddin

*Sukatan untuk ~10 orang makan

Bahan-bahan yang perlu:

1.5 peket mihun
250 gm daging
200 gm udang basah kecil
5 ulas bawang merah kecil
4 ulas bawang putih
2 sudu besar sos tiram
1 ketul kiub pati ayam
1/2 sudu kecil serbuk lada hitam halus
1/2 sudu kecil serbuk lada sulah
1 batang lobak merah
1 ikat sawi
5 kelopak sayur kubis
1 peket jagung muda
200 gm cendawan tiram
500 ml air untuk merebus daging
1liter air untuk melembutkan mihun
Garam secukup rasa
Minyak masak untuk menumis

Cara Menyediakan & Memasaknya:

1. Mihun direndam air suhu bilik sekurang-kurang 2 jam sebelum memasak. Toskan.


2. Daging dipotong kecil & direbus dengan api perlahan sehingga empuk.
3. Bawang merah & bawang putih dikisar halus.
4. Panaskan minyak dalam kuali besar.
5. Goreng udang dulu di dalam kuali untuk seketika.
6. Masukkan bahan kisar di dalam kuali yang sama tadi. Tumis sehingga naik bau.
7. Masukkan daging & air rebusannya.
8. Tambahkan sos tiram & serbuk lada hitam
9. Masukkan lobak merah yang telah dipotong memanjang & cendawan yang telah dicarik. Kacau seketika.


10. Tambahkan air. Tutup kuali. Biarkan bahan sehingga mendidih.
11. Masukkan jagung muda yang dibuang kulitnya & dipotong memanjang serta potongan sayur kubis.
12. Tambahkan kiub pati ayam & perasakan kuah dalam kuali dengan garam
13. Masukkan mihun & kacau sebati sehingga lembut & masak
14. Tambahkan sayur sawi yang telah dipotong
15. Tabur serbuk lada sulah & sebatikan.
16. Tutup api & siap untuk dihidangkan. Taburkan bawang goreng & hirisan telur dadar jika suka.

Nota:

  1. Boleh juga menggunakan ayam sebagai rencah utama
  2. Boleh gantikan kiub pati ayam dengan pati rebusan tulang ayam/ kulit udang

Macam mana?

Senang je resepi mihun putih ni kan? Memang step nampak macam banyak tapi semua tu simple je.

Kiub pati ayam ni biasanya dah ada rasa masin semua, jadi sebelum tambah garam, pastikan kita rasa dulu kuah tu. Biasanya macam sukatan ni, saya letak dalam 1/2 sudu besar garam halus. Terpulang juga pada citarasa masing-masing.

Kelainan pada resepi mihun putih ni adalah pada cendawan tu.

Setakat saya pernah makan mihun putih kat mana-mana, blom ada lagi la yang saya jumpa letak cendawan ni.

Bagi yang suka makan dengan rasa pedas-pedas, boleh juga hidangkan mihun putih ni dengan hirisan cili kicap. Cili yang diguna adalah cili padi.

Selamat mencuba!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge